BAGAN DATUK: Industri Inap Desa di sekitar daerah ini wajar dibangunkan dengan lebih pesat selaras dengan pembangunan yang kini giat dilaksanakan di Bagan Datuk.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datok berkata pihaknya mensasarkan sekurang-kurangnya 500 buah inap desa dibangunkan bagi menampung kehendak para pelancong yang bakal tertumpu ke Bagan Datuk kelak.Katanya buat masa ini beliau juga telah meminta kerjasama daripada wakil rakyat DUN Rungkup dan Hutan Melintang untuk mengenalpasti rumah sedia ada yang berpotensi untuk dijadikan inap desa.

“Pada masa ini Bagan Datuk mempunyai 200 inap desa dan ianya memang tak cukup justeru saya akan meminta kerjasama daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) untuk tujuan memohon peruntukan.

“Saya sendiri akan berjumpa dengan pihak kementerian untuk memohon peruntukan itu.

“Sekurang-kurangnya, ada 500 inap desa untuk diusahakan di sekitar DUN Rungkup dan DUN Hutan Melintang,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Perkarangan Kediaman Fauzi Siraj, Kampung Sungai Tiang Darat, pada petang Ahad.
Katanya, pembinaan inap desa itu juga bertepatan dengan hasrat untuk memperkenalkan budaya sebenar tempatan baik makanan dan persekitaran Bagan Datuk kepada pelancong luar.
Jelasnya, sebuah hotel Seri Malaysia yang akan memuatkan 200 hingga 250 buah bilik akan dibina berhampiran dengan pinggiran Sungai Perak oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata sebuah hotel swasta akan dibina berhampiran Sekolah Sains Bagan Datuk (SABDA) untuk tujuan memberi lebih banyak pilihan penginapan di daerah itu.