SUBANG: Asalkan bayaran berbaloi, pelakon veteran, Delimawati, 60, sedia meneruskan watak Kak Limah jika naskhah arahan Mamat Khalid itu mahu disambung.

Tanpa berselindung, isu bonus yang didakwa pelakon dan kru filem Hantu Kak Limah (HKL) tidak setimpal seperti dibangkitkan bintang utama, Datuk Awie, menyebabkan Delimawati berfikir dua kali untuk menerima tawaran seterusnya.

Mengaku filem HKL memberi impak kepada populariti dirinya, namun, Delimawati perlu mengambilkira soal bayaran kerana bidang lakonan adalah periuk nasinya.

“Kalau produksi sama yang menghasilkan sambungan filem HKL, saya akan tengok kepada bayaran. Bukan saya nak menuntut atau ‘demand’, tetapi ini sajalah periuk nasi saya.

“Bukan pelakon lain saja yang tidak berpuas hati dengan bayaran bonus filem itu, saya pun terasa.

“Memang saya tak puas hati sebab sudahlah bayaran untuk melakonkan watak Kak Limah sedikit, bonus pun tak seberapa,” katanya pada sidang media pementasan Teater Muzikal HKL di sini, hari ini.

Delimawati berkata, beliau bukanlah menuntut bonus lumayan, sebaliknya biarlah setimpal.

“Bukan nak banyak sangat (bonus) tetapi biarlah berbaloi dengan kerja keras dan usaha kita.

“Kalau produksi lain yang buat sambungan, saya akan terima dengan bayaran setimpal,” katanya.

Delimawati berkata, jenama filem Kak Limah yang dihasilkan sejak lapan tahun lalu menjulang nama dan bakatnya hingga dipandang penerbit drama.

“Namun, selepas isu bonus dibangkitkan, saya kena berfikir semula. Malah, kalau teater muzikal ini di bawah produksi sama dengan filem, saya tak akan terima.

“Tetapi disebabkan projek ini dibawa Malaysia Animation Park Studios (MAPS) dan dipentaskan di Ipoh, Perak, saya terima,” katanya.

Mengenai pementasan teater di MAPS di Ipoh pada selama lapan hari mulai 24 Disember depan, Delimawati berkata, pelakon dan kru teater mempunyai masa terhad untuk berlatih.

“Saya tak pernah berlakon teater, apatah lagi muzikal. Tetapi, saya cabar diri untuk terima demi peminat HKL.

“Saya sudah 30 tahun dalam industri hiburan… Inilah kali pertama ditawarkan berlakon teater. Kalau orang lain boleh, kenapa saya tak boleh?” katanya – mstar