TAPAH: “Jomlah, kita berhenti rehat”.

Itulah ayat yang diucapkan Roslan Osman, 43, kepada isterinya sebelum kereta yang membawa pasangan ini bersama empat anaknya bertembung dengan kenderaan lain dari arah bertentangan di Jalan Tapah-Cameron Highlands petang semalam.

Melihat kepada kenderaan Kancil yang membawa keluarga ini dalam keadaan ‘total lost’, ramai yang berpendapat kemalangan yang berlaku pada 5.30 petang itu pastinya meragut nyawa kesemua penumpang.

Namun insiden ini mungkin bukan takdir ajal mereka apabila Roslan, isteri serta empat anaknya termasuk seorang bayi berusia 52 hari Nurayra Mikhayla terselamat dalam kemalangan ngeri itu dengan kecederaan sahaja.

Ketika kejadian, keluarga ini dipercayai dalam perjalanan ke Kampung Banjar Beruas selepas menghabiskan beberapa hari merayakan Aidilfitri bersama sanak-saudara di Pahang.

Menurut kakak ipar mangsa, Nur Kasmirah Abu Othman, 35, keluarga tersebut sepanjang perjalanan dari Pahang mereka hanya membuat satu hentian iaitu ketika bersarapan lebih kurang 11 pagi.

bersama dengan lima lagi anak mereka yang duduk di bahagian belakang kenderaan yang mujur tidak mengalami sebarang kecederaan parah.

“Apa yang saya dapat tahu, pada waktu itu, suami mangsa ada berasa mengantuk sedikit dan mengajak untuk berhenti rehat. Sementara hendak mencari tempat sesuai untuk berhenti, agaknya tak sempat. Isterinya saya dapat tahu tak tidur dan dia sedar ketika kenderaan dah melencong ke lorong bertentangan.

“Isterinya cuba menarik steering Kancil itu tetapi tak dapat sepenuhnya sehingga kereta mereka bertembung. Apabila dia sedar, mukanya dipenuhi dengan darah mungkin disebabkan hentakan kuat.

Bayi kecil yang sedang dipangkunya, dibawa keluar oleh orang awam, yang juga membawa kesemua anak-anak mereka ke Hospital Tapah. Alhamdulillah, salah seorang anaknya cuma mengalami lebam-lebam, dua lagi tiada kecederaan.

“Kenderaan Kancil itu, mengalami kerosakan teruk,”katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Selasa.

Bersama pasangan itu adalah anak kembar mereka berusia 9 tahun dan seorang lagi berusia 5 tahun, kesemua mereka terselamat, katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Superitendan Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi mengesahkan laporan mengenai kemalangan yang berlaku sekitar 5.30 petang di Jalan Tapah-Cameron Highland itu.

Jelasnya, ianya melibatkan dua buah kenderaan Perodua Kancil namun mujur buat masa ini kesemua mangsa disahkan mengalami kecederaan ringan.

“Seorang bayi telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk pemeriksaan lanjut berikutan kekurangan kemudahan di Hospital Tapah, namun keadaan mangsa semua stabil buat masa ini. Pihak hospital juga ingin membuat imbasan CT Scan pada bayi bagi kepastian tiada kecederaan dalaman.

“Siasatan lanjut diteruskan buat masa ini,”katanya.