KUALA KANGSAR – Bangunan asrama perempuan Sekolah Menengah Agama (SMA) Madrasah Idrisiah di sini yang terlibat dalam kejadian kebakaran pada Rabu lalu mungkin akan dibaik pulih atau dirobohkan untuk digantikan dengan bangunan baharu.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Asmuni Awi berkata, pihaknya meminta pengurusan sekolah untuk memohon peruntukan bagi menempatkan penghuni asrama itu yang tidak mempunyai penempatan tetap ketika ini.

Katanya, bangunan asrama separa kayu yang dibina sejak 30 tahun lalu didapati sudah uzur dan tidak selamat untuk diduduki.

“Kita sedang memikirkan cadangan alternatif termasuk pembinaan khemah di kawasan sekolah buat sementara waktu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan di sini semalam.

Kejadian kebakaran bangunan asrama perempuan sekolah itu merupakan kejadian kali kedua selepas yang pertama berlaku dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Kira-kira 160 penghuni asrama perempuan berkenaan dipindahkan ke dewan utama sekolah manakala para pelajar tingkatan tiga yang sedang menduduki peperiksaan lisan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di dewan berkenaan ditempatkan di dewan makan sekolah. – Bernama