BAGAN SERAI : Kementerian Kesihatan Malaysia diminta membaik pulih semula kuarters-kuarters di klinik kesihatan yang daif dan bermasalah di seluruh negara.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata, di daerah Kerian khususnya di Bagan Serai, pihaknya mendapati keadaan beberapa kuartes klinik kesihatan semakin teruk dan menyakitkan mata memandang.

Menurutnya, ia perlu dinaiktaraf untuk keselesaan kakitangan kementerian.

“Tinjauan di beberapa kuartes disini khususnya di Alor Pongsu, amat menyedihkan dan perlu dibaikpulih segera.

“Ini kerana keadaan kuarters yang masih mengekalkan struktur kayu dan papan semakin dimamah usia.

“Selain mencemar pemandangan, ianya turut membahayakan keselamatan isi rumah itu, “katanya ditemui media selepas merasmikan program ‘Ke Arah Keluarga Sihat, Komuniti Sejahtera’ anjuran Klinik Kesihatan Bagan Serai di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Mas’ud, di sini, hari ini.

Noor Azmi berkata selain itu, sebuah klinik kesihatan di Matang Gerdu perlu diwujudkan bagi mengatasi masalah kepadatan pesakit yang sering berlaku di Klinik Kesihatan Bagan Serai dan Kuala Kurau.

“Masalah utama yang berlaku di Bagan Serai adalah kepadatan pesakit di dua Klinik Kesihatan di Bagan Serai dan Kuala Kurau yang sudah pasti memberi kesan buruk pada pesakit itu sendiri.

“Kementerian ada tanah di Jalan Siakap dan saya telah usulkan perkara ini dari 2015 lagi dan turut dibawa beberapa kali dalam sidang parlimen,” ujarnya.