KUALA LUMPUR: Kerajaan dan agensi penguat kuasa berkaitan disaran menggantung permit serta lesen pemandu teksi yang didapati terbabit dalam sebarang perhimpunan haram, kononnya bagi menuntut keadilan berhubung isu perkhidmatan e-hailing, Grab.

Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), Ajit Johl, berkata reaksi pemandu teksi yang bertindak untuk mengadakan demonstrasi seolah-olah memberi gambaran mereka enggan mencerminkan diri untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

Beliau berkata, golongan yang pernah diiktiraf sebagai “duta kecil” negara itu sebaliknya cuba mencerminkan akhlak seperti samseng dan cuba menutup kegagalan mereka bersaing dalam perkembangan pasaran menerusi tindakan menuding jari kepada kerajaan.

“Bagus, biarkan mereka buat perhimpunan atau demonstrasi lagi kerana ia sekadar membuktikan kepada rakyat dan pengguna bahawa golongan ini memang tidak akan sedar serta bangkit daripada kegagalan menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi.

“Imej mereka ketika ini amat buruk pada kaca mata masyarakat. Justeru, penganjuran demonstrasi atau perhimpunan seperti ini hanya akan mengundang kerugian kepada periuk nasi golongan berkenaan.

“Jalan terbaik ialah bangkit daripada kegagalan dan tingkatkan perkhidmatan mereka supaya kembali mendapat kepercayaan dalam kalangan pengguna pengangkutan awam ketika ini,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas rancangan wakil pemandu teksi Malaysia, Datuk Shamsubahrin Ismail yang juga Pengasas Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, untuk mengadakan perhimpunan aman disertai kira-kira 3,000 pemandu teksi dari seluruh negara bagi memperjuangkan isu menentang ketidakadilan dikaitkan dengan Grab.

Mereka turut mendesak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Mohd Azharuddin Mat Sah, dipecat kerana didakwa gagal menyelesaikan isu Grab sehingga menimbulkan kemarahan pemandu teksi.

Mengulas lanjut, Ajil berkata pemandu teksi sewajarnya menyedari hakikat bahawa peralihan kecenderungan pengguna berpunca daripada perkembangan teknologi dan perubahan model perniagaan dalam industri pengangkutan awam.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan perkhidmatan berteraskan e-hailing yang mempamerkan ketelusan dalam aspek pembayaran, maklum balas pengguna dan kawalan aspek keselamatan menjadi pilihan utama, berbanding industri teksi yang dianggap jumud.

“Sebelum ini ketika pengguna amat memerlukan perkhidmatan teksi, mereka boleh mengamalkan ‘sikap memilih’ kerana mempunyai kelebihan dalam mengawal pola pasaran, namun semua itu berubah susulan kemunculan Grab dan Uber.

“Sejak dulu memang perangai majoriti pemandu teksi tidak berubah, iaitu sentiasa kasar dan kurang ajar, termasuk kelakuan mereka ketika menghadiri perbincangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tempoh hari.

“Kalau dengan ayahanda berusia 93 tahun mereka boleh kurang ajar, apatah lagi dengan pengguna,” katanya – berita harian