IPOH: Keadaan dan struktur bangunan Baitul Anor yang usang berdekatan dengan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan Kuala Kangsar sedikit sebanyak mencacatkan pemandangan sekeliling masjid itu.

Sehubungan itu, wakil kerajaan, Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan) mencadangkan supaya kerajaan negeri membantu dalam gerak kerja membaikpulih bangunan itu yang juga bertindak sebagai galeri terbuka sebelum ini.

“Dalam titah baginda sebelum ini ada menyentuh mengenai Masjid Ubudiah yang perlu dikekalkan keasliannya, saya amat bersetuju dan untuk itu sebagai masjid yang menjadi tumpuan maka persekitarannya juga perlu diberi perhatian.

“Di bahagian kiri, kanan, belakang dan hadapan masjid berkenaan sudah ada bangunan sedia ada seperti Baitul Anor yang kelihatan sangat uzur dan terletak sangat dekat dengan masjid tersebut,” katanya semasa sesi perbahasan SSidang DUN Perak pada Rabu.

Menurut beliau, walaupun bangunan itu merupakan hak milik persendirian tetapi kerajaan negeri boleh membantu dari sudut bantuan kewangan mahupun sentuhan idea demi melonjakkan sektor pelancongan di kawasan itu.

“Masjid Ubudiah sering menjadi tumpuan pelancong dan secara tidak langsung keadaan bangunan Baitul Anor yang usang mencacatkan pemandangan.

“Diharapkan juga diwujudkan kiosk minuman dan cenderahati buat para pelancong untuk mengalas perut dan dalam masa yang sama membeli cenderahati untuk di bawa pulang,” .