IPOH: Bajet Negeri Perak 2017 merupakan belanjawan yang merangkumi kesejahteraan semua pihak, khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan masyarakat di luar bandar.

Naib Ketua Pemuda UMNO Tanjung Malim, Anggun Che Sulong Shamsuri berkata, ia bertentangan sama sekali dengan tohmahan pembangkang yang menyifatkannya sebagai sangat teruk.

Menurut beliau, ketidakstabilan ekonomi yang memberi impak kepada rakyat seluurh negeri ketika ini, sedikit pun tidak menjejaskan struktur bajet yang menitikberatkan semua pihak di negeri ini.

“Ada yang cuba menimbulkan provokasi, namun sebenarnya, tidak ada peruntukan mana-mana pihak yang dikurangkan, malah ada sebahagiannya ditambah nilai demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Contoh utama ialah inisiatif kerajaan negeri untuk merancakkan sektor perindustrian yang sekaligus membuka lebih 4,000 peluang pekerjaan di saat rakyat sedang gusar mengenai masalah penggangguran,” katanya kepada Suara Perak.

Tambahnya, peluang pekerjaan pastinya akan menjadi rebutan oleh lepasan universiti dan graduan serta lulusan institusi kemahiran di pelbagai peringkat.

Anggun juga menepis tuduhan liar yang memandang remeh penyediaan pelbagai dana dan insentif untuk membina rumah kos rendah dan mampu milik bagi memenuhi permintaan rakyat, terutama generasi kedua.