IPOH: Majlis Belia Negeri Perak (MBNP) menyifatkan Bajet 2017 Perak memberi manfaat yang menyeluruh kepada golongan muda di negeri ini.

Timbalan Presidennya, Aswannudin Hariffudin berkata, bajet tersebut yang bertemakan `Pertumbuhan dan Kesejahteraan Rakyat’ telah memperuntukkan RM7.95 juta, khusus untuk pembangunan dan keperluan anak muda di Perak.

Menurutnya, peruntukkan sejumlah RM2.5 juta untuk Pusat Kerjaya Amanjaya jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu golongan muda yang sedang mencari pekerjaan, khususnya graduan yang baru menamatkan pengajian.

Selain itu, ujarnya, sejumlah RM2 juta diperuntukkan bagi pengupayaan generasi muda dan RM1.2 juta pula untuk mengupayaan mahasiswa.

“Peruntukan ini sudah pasti menjadi katalis untuk kita menggerakkan lebih banyak lagi program untuk membangunan `soft skill’ dan mendayakasakan sifat kesukarelaan di kalangan anak muda di Perak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Aswannudin, bajet itu juga dilihat berupaya memberi manfaat, bukan sahaja kepada anak-anak muda di luar bandar, malah mereka yang sedang menuntut di menara gading.

Katanya, peruntukkan sebanyak RM1 juta untuk Dewan Belia Amanjaya juga membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk mewujudkan pelapis kepimpinan muda di masa depan.

“Bagi mereka yang mempunyai bakat semulajadi dan luar biasa pula, sebanyak RM1.25 juta telah diperuntukkan untuk PORT,” tambahnya.