IPOH: Walaupun Bajet 2017 negeri Perak yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir adalah bajet defisit RM129 juta, tetapi ia disifatkan sebagai berjiwa rakyat, realistik dan inklusif.

Datuk Tarmizi Idris (BN – Kenering) yang menyifatkan demikian turut menyatakan rasa kagum dan teruja di atas keberanian Dr Zambry berhadapan dengan realiti walaupun mendedahkan diri dan kerajaan kepada sindiran dan kecaman.

Beliau percaya, unjuran defisit itu akan cuba dimanipulasikan oleh wakil rakyat pembangkang demi kepentingan politik masing-masing.

“Saya kagum kerana pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat perlu sanggup mengorbankan populariti singkat asalkan rakyat terus terbela,” katanya ketika berucap menyokong bajet itu di Sidang DUN pada Rabu.

Tarmizi berkata, kerajaan negeri mempunyai pilihan untuk menyediakan bajet seimbang atau surplus, jika pujian dan sanjungan yang ingin dicari atau mengelakkan kutukan.

“Dalam masa rakyat dahagakan pembangunan, apakah pilihan wajar antara membelanjakan wang untuk pertumbuhan ekonomi atau pun menyimpan hasil untuk menghiasi bajet yang tidak deficit,” ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri mempunyai rizab tunai sebanyak RM818.3 juta, selain stok saham pelaburan bernilai RM114.54 juta mengikut harga pasaran pada 10 November 2016.

Ini sekaligus, ujarnya, menjadikan nilai rizab kerajaan negeri berjumlah RM932.84 juta yang terkumpul, hasil amalan jimat cermat selama ini.

Beliau berkata, sejak 2012, walaupun bajet tahunan yang dibentangkan merupakan bajet defisit tetapi akhirnya ia menjadi surplus.

Tarmizi berpendapat, sekalipun berlaku sebarang senario di luar kawalan yang akhirnya berkesudahan dengan defisit, pastinya kerajaan negeri tidak perlu membuat pinjaman dari mana-mana sumber kerana rizah yang cukup untuk menampung defisit itu.

“Oleh itu, janganlah hendanya angka defisit yang diunjurkan dalam Bajet 2017 itu dijadikan unsur jembalang yang menutup mata dari kita melihat apa yang murni di dalam bajet ini,” tegasnya.