KUALA LUMPUR 27 Okt. – Kerajaan memperuntukkan RM1.7 bilion untuk meningkatkan kebajikan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak menerusi Bajet 2018.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, elaun warga emas dinaikkan sebanyak RM50 menjadi RM350 sebulan yang bakal memanfaatkan hampir 144,000 ribu orang, dengan peruntukan RM603 juta.

Tambah Najib, elaun OKU yang bekerja, tidak bekerja dan penjaga OKU dinaikkan sebanyak RM50 sebulan untuk dimanfaatkan oleh 163,000 orang dengan peruntukan RM100 juta.

“Berhubung hal penyampaian dalam mengutamakan kebajikan semua pihak termasuk warga emas, OKU dan kanak-kanak, sukacita kerajaan mengumumkan bantuan RM1.7 bilion kepada mereka,”katanya ketika membentangkan Bajet 2018, di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, bagi melindungi kanak-kanak dari jenayah seksual, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menubuhkan sebuah Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.-UTUSAN ONLINE