SHAH ALAM – Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan menjadi tumpuan sekali lagi dalam pembentangan Bajet 2018 yang akan berlangsung di Parlimen, Kuala Lumpur, 27 Oktober akan datang.

Menurut tinjauan Sinar Online di laman sesawang Bajet 2018, ramai di antara netizen meninggalkan cadangan kepada Perdana Menteri, Najib Tun Razak untuk meningkatkan kadar pemberian BR1M.

Kebanyakannya berpendapat pemberian BR1M mampu membantu rakyat meringankan bebanan kos sara hidup yang kian menghimpit kehidupan seharian mereka.

Salah seorang pengunjung laman sesawang Bajet 2018, Lim Seng Hock meminta kerajaan meningkatkan pemberian BR1M kepada golongan yang memerlukan.

“Pemberian BR1M perlu ditambah demi membantu golongan sasaran dengan lebih berkesan.

“Ini amat bermakna berbanding pemberian subsidi terhadap harga barangan tertentu,” katanya seperti yang dipetik menerusi laman tersebut.

Najib pada September lalu berkata sebanyak 13,837 idea dan cadangan telah diterima sepanjang kempen sumber khalayak Bajet 2018 yang dijalankan selama 15 hari, bermula 4 hingga 18 September lepas.

Perdana menteri berkata penelitian awal mendapati pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, pencukaian, perniagaan dan kewangan serta pengangkutan dan infrastruktur menjadi topik hangat sekali gus menunjukkan keutamaan rakyat hari ini.

Dalam pada sama, seorang lagi pengunjung, Nur Azah Rahmat turut memohon had kelayakan pemberian BR1M bagi kategori bujang ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM2,500.

“Saya ingin mencadangkan agar permohonan pemberian BRIM bagi kategori bujang, had gaji dinaikkan sehingga RM2,500 – RM3,000 berbanding sebelum ini hanya RM2,000 sahaja,” katanya lagi.

Bersetuju dengan pandangan sama, Nur Hananis Johanor berkata, kerajaan perlu membantu rakyat berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Oleh yang demikian, saya cadangkan supaya BR1M dinaikkan dan Baucar Buku 1Malaysia dinaikkan supaya ia dapat membantu rakyat,” ujarnya.

Kerajaan pada pembentangan Bajet 2017 lalu mengumumkan kenaikan kadar BR1M meliputi semua empat golongan penerima.

Ia melibatkan tujuh juta pengguna membabitkan peruntukan RM6.8 bilion.

Bagi kategori penerima e-kasih, kadar BR1M dinaikkan daripada RM1,050 ringgit kepada RM1,200.

BR1M bagi golongan isi rumah berpendapatan bawah RM3,000, juga dinaikkan daripada RM1,050 kepada RM1,200.

Sementara bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000, jumlah BR1M dinaikkan daripada RM800 kepada RM900.

Bagi individu bujang berpendapatan RN2,000 ke bawah, mereka layak memperoleh BR1M berjumlah RM450 tahun depan, berbanding RM400 tahun ini.

Pun begitu, tidak kurang juga yang membantah pemberian BR1M oleh kerajaan kepada rakyat.

Siti Akma Raziah Refendi berkata, BR1M perlu dihentikan kerana bukan semua rakyat dapat menikmati bantuan tersebut.

“Walaupun pada dasar kerajaan, BR1M memanfaatkan rakyatnya. Tetapi tidak bagi saya kerana kami yang berpendapatan lebih dari RM4,000 tidak layak memohon.

“Namun kami wajib membayar cukai pendapatan kepada kerajaan. Kami juga perlu membayar zakat pendapatan. Jadi kami terbeban dengan berbagai cukai yang dikenakan,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Izzul Nazmi Bokhari berpendapat, BR1M wajar dimansuhkan kerana ia akan membebankan kewangan kerajaan.

“Saya mencadangkan agar BR1M dimansuhkan supaya bajet untuk BR1M tersebut dapat disalurkan ke bahagian-bahagian lain yang lebih memerlukan,” jelasnya.

Abdullah Basfar yang berpendapat sama turut menyifatkan pemberian BR1M tidak relevan.

“Ada bagusnya mansuhkan BR1M dan salurkan duit BR1M tu kepada subsidi barang-barang keperluan asas seperti petrol, minyak masak dan lain-lain.

“Dengan ini, ia dapat mengurangkan beban kos sara hidup bukan sahaja kepada golongan pendapatan rendah, malah turut membantu golongan pertengahan,” jelasnya.

-SinarHarian