KUALA LUMPUR: Dalam memperkasa dan memajukan sektor pertanian negara, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.5 bilion dalam Bajet 2018, memberi manfaat kepada mereka yang terlibat dalam sektor pertanian meliputi pesawah, petani, pekebun kecil, nelayan dan penternak.

Ketika membentangkan bajet itu di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebanyak RM2.3 bilion diberi dalam bentuk bantuan dan insentif seperti baja serta input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan selain hampir RM500 juta bagi menambah baik infrastruktur pengairan di kawasan pertanian dan menaik taraf jalan ladang.

Selain itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata hampir RM200 juta pula diperuntukkan bagi program penanaman semula getah dan menyediakan kemudahan infrastruktur dengan meningkatkan pengeluaran susu getah berbanding getah beku mangkuk, sekaligus meningkatkan pendapatan para pekebun kecil.

Turut diumumkan adalah peruntukan hampir RM140 juta bagi program pembangunan dan penanaman semula kelapa sawit termasuk promosi, kata Najib, dalam Bajet 2018 bertemakan ‘Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50)’ itu.

Beliau berkata dalam memperkasakan sektor pertanian, sebanyak RM200 juta disediakan bagi inisiatif Sumber Kekayaan Baharu, khususnya untuk penanaman jagung bijian, kelapa, durian, dan sektor kulinari serta industri tenusu dengan menubuhkan Lembaga Tenusu dan Ruminan.

“Contohnya, di Hong Kong, harga durian Musang King dikhabarkan telah mencecah RM800 sebiji,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan memperkenalkan skim khas untuk program peningkatan pengeluaran kelapa melalui pendekatan penanaman semula kelapa variasi baharu dari jenis CARECA dan MATAG dengan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk dimanfaatkan 10,000 pekebun kecil.

Jelasnya, pengurusan industri kelapa pula akan digabungkan di bawah satu lembaga bersama-sama industri nanas dan buah-buahan.

Najib turut mengumumkan bantuan sebanyak RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan sementara menunggu hasil tuaian padi dengan peruntukan hampir RM150 juta kepada pesawah padi.

— BERNAMA