IPOH – Kementerian Kesihatan mengharapkan peruntukan lebih pada Bajet 2019  bagi meningkatkan tahap penjagaan kesihatan dan pencegahan dalam negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, penumpuan itu penting selepas mendapati banyak peruntukan dibelanjakan hanya untuk merawat.

“Apa yang kami mahu dan sama ada mereka (Kementerian Kewangan) berikan, adalah dua perkara berbeza tetapi banyak sumber dibelanjakan untuk rawatan.

“Disebabkan itu, banyak wang dibelanjakan untuk merawat dan tidak cukup untuk dibelanjakan untuk memastikan rakyat lebih sihat. Kita perlu lebih belanja bagi mencegah rakyat dari jatuh sakit,” katanya selepas merasmikan Neonatal Cardio Respiratory Conference 2018 di Hospital Pakar KPJ Ipoh di sini, semalam.

Enggan mengulas lanjut  jumlah sebenar peruntukan yang diharapkan, Boon Chye berkata, perbelanjaan semasa sektor kesihatan awam dan swasta adalah sekitar 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kerajaan telah berjanji untuk meningkatkannya sekitar enam hingga tujuh peratus dalam rancangan jangka panjangnya.

“Wang perlu dibelanjakan sebaiknya dan sekiranya ada lebihan, kita boleh belanja untuk melindungi golongan miskin dan ‘primer care’. Bagaimanapun, ia bergantung kepada Kementerian Kewangan,” katanya.

Katanya, kerajaan turut memfokuskan golongan berpendapatan rendah dan pertengahan.

“Ini termasuk program menggalakkan kumpulan ini menjalani pemeriksaan awal kesihatan seperti hipertensi, diabetes dan pemeriksaan asas darah,” katanya – sinar