KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor berharap kerajaan menetapkan peraturan dan penguatkuasaan supaya perkhidmatan teksi dan e-hailing seperti Grab bersaing secara sihat.

Presidennya, Datuk Aslah Abdullah, berkata jika kerajaan tidak berbuat sesuatu pemandu teksi akan terus gulung tikar dan sukar mencari makan.

“Kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi mengelak isu ini menjadi semakin meruncing. Kami pemandu teksi mengikut peraturan yang ditetapkan seperti memiliki permit, lesen, insurans serta cukai jalan.

“Kenderaan pula diselenggara setiap enam bulan bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik. Tetapi selepas Grab mendominasi perkhidmatan ini, kami berdepan situasi sukar berikutan tiada pemantauan daripada kerajaan,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Aslah berkata, pihaknya tidak menolak Grab mahupun perkhidmatan e-hailing tempatan lain tetapi ia perlu ada penguatkuasaan dan peraturan supaya tidak terus ‘membunuh’ pemandu teksi.

“Misalnya, di satu kawasan hanya teksi dibolehkan menunggu, jadi Grab tidak boleh menunggu dan memasuki kawasan sama.

“Selain itu, tambang Grab tidak boleh lebih murah daripada kadar teksi sebab mereka tidak menggunakan meter,” katanya.

Katanya lagi, Singapura dan Indonesia turut menggunakan perkhidmatan Grab tetapi tidak ada masalah seperti di negara ini.

“Ini kerana di sana mereka ada perjanjian dan penguatkuasaan tegas yang telah ditetapkan kerajaan. Malaysia perlu belajar sesuatu dari dua negara ini,” katanya.

Aslah turut berharap menteri pengangkutan dapat melakukan sesuatu supaya perkhidmatan teksi terus bertahan – berita harian