KUALA LUMPUR: Kekurangan hospital bertaraf pakar adalah antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam Bajet 2019 supaya masalah menempatkan doktor pelatih dapat diatasi.

Naib Presiden I-Medik, Prof Rafidah Hanim Mokhtar, berkata keadaan ini menyebabkan ramai doktor pelatih terpaksa menunggu tempoh kekosongan antara enam bulan hingga setahun sebelum dipanggil bertugas.

Katanya, walaupun di negara ini mempunyai kira-kira 139 buah hospital, kebanyakannya tidak mencapai taraf pakar untuk membolehkan doktor pelatih ini mendapatkan latihan.

“Dengan pertambahan pelajar di kolej perubatan dalam dan luar negeri yang ingin mendapatkan latihan, keadaan ini menyukarkan dan sedikit sebanyak memberi implikasi kepada pelajar itu sendiri.

“Ada yang terpaksa melakukan kerja sampingan lain sebelum dipanggil untuk bertugas mengikut giliran. Jadi saya harap perkara ini dapat diteliti oleh kerajaan,” katanya mengulas harapannya berhubung Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada 2 November depan.

Dr Rafidah berkata, kerajaan perlu meneliti semula cadangan untuk memberi insurans kepada kumpulan B40 supaya ia benar-benar dapat digunakan dengan sewajarnya.

“Kerajaan perlu menyediakan garis panduan dan tahu berapa purata rakyat ke hospital dalam setahun, jumlah peruntukan dan sebagainya sebelum ia dilaksanakan.

“Namun dalam masa yang sama saya juga berharap kerajaan meneruskan subsidi perubatan kepada rakyat memandangkan perkhidmatan kesihatan kita antara yang terbaik di dunia,” katanya.

Menyentuh mengenai harga ubat, beliau berkata kenaikan harga barang turut memberi kesan kepada masyarakat beralih daripada perkhidmatan hospital swasta kepada kerajaan dan ini menambah beban kepada kakitangan sedia ada.

”Justeru bajet yang mencukupi perlu untuk perkhidmatan kesihatan awam supaya masyarakat mendapat yang terbaik, sekali gus mengelak daripada mewujudkan rakyat tidak produktif disebabkan penyakit kronik.

“Pelaburan kepada sektor kesihatan awam ini penting untuk kerajaan dalam jangka masa panjang kerana ia dapat menjimatkan negara seperti yang dilakukan oleh negara-negara maju,” katanya.

Beliau turut berharap kerajaan dapat menambah sistem hospital kluster kerana ia secara tidak langsung mengurangkan beban hospital daerah.

“Gabungan kepakaran daripada beberapa hospital adalah inisiatif yang baik demi kebaikan terutama di kawasan-kawasan pedalaman seperti hospital kluster yang ada di Sabah,” katanya – berita harian