KUALA LUMPUR : Kerajaan Pas Kelantan berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengemukakan royalti minyak dalam perbentangan Bajet 2020 yang akan dibentangkan esok.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sudah banyak kali janji Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyalurkan royalti minyak kepada kerajaan negeri itu, namun ia sering dimungkiri.

“Setakat ini Kelantan menang tidak dapat royalti petroleum dan kita harap kerajaan dalam janji Tun Dr Mahathir banyak kali nak beri royalti dan kita harap mereka dapat tunaikan dalam Bajet kali ini.

“Kerajaan beralasan mahkamah dan kerajaan negeri sudah tunai hampir semua permintaan kerajaan pusat dan saya fikir tidak ada sebab untuk kerajaan pusat untuk tidak tunaikan janji. Dan kita harap kali ini dalam bajet dapat ditunaikan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Julai lalu berkata, kerajaan akan memenuhi janji menyalurkan royalti 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak.

Pakatan Harapan (PH), dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjanji untuk meningkatkan royalti bagi semua negeri pengeluar petroleum kepada 20 peratus, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan dan Terengganu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 8 Mac lalu berkata kerajaan dijangka akan menyelesaikan royalti petroleum Kelantan pada April namun perkara itu disanggah Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Abdullah yang berkata sehingga kini proses tersangkut di Kementerian Kewangan.

-MalaysiaGazette