IPOH: Bajet untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri Perak bagi tahun hadapan tidak akan dipotong.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, adalah sukar untuk menambah bajet itu kerana kekangan kewangan negeri.

Bagaimanapun, beliau yakin, dengan bajet yang sedia ada, beliau boleh memberi bantuan kepada NGO di negeri Perak.

“Untuk penambahan dana tahun hadapan, saya rasa ianya ada sedikit kekangan daripada kewangan di Perak tetapi bajet itu tidak akan dipotong.

“Maka apabila bajet tidak dipotong, saya kira, dengan bajet yang ada itu, sebenarnya saya boleh memberi bantuan kepada seluruh pertubuhan-pertubuhan yang berada di negeri Perak ini,” katanya pada sesi dialog bersama NGO di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Masyati Abang Ibrahim.

Hasnul memberitahu, beliau tiada masalah untuk menyalurkan dana itu kepada NGO asalkan mereka menghantar kertas kerja yang bagus dan permohonan perlu disertakan dengan borang-borang ataupun sijil-sijil yang perlu dilengkapkan.

Menurutnya, setiap permohonan hendaklah dihantar awal, sekurang-kurangnya dua bulan daripada tarikh program hendak dilaksanakan.

“Tetapi kalau persatuan ada duit sendiri dan keluarkan duit sendiri dahulu kemudian apabila dana itu masuk, boleh ditampung semula.

“Untuk pengurusan, boleh kita mohon daripada tahun ini, untuk kita salurkan pada tahun hadapan,” ujarnya.

Terdahulu, di dalam sesi dialog, Hasnul memberitahu, sebahagian besar bajet untuk NGO tahun ini telah dibelanjakan dan bakinya sangat sedikit.

“Insya Allah, tahun hadapan, kita akan uruskan peruntukan dengan sebaik mungkin, bukan hanya untuk menjaga hati atau kepentingan politik saya,” katanya