IPOH: Dewan Perniagaan India Perak penuh yakin Bajet Perak 2017 akan dapat merangsang ekonomi rakyat di negeri ini.

Menurut Presidennya G.R. Kesavan, peruntukkan sebanyak RM6 juta untuk pengupayaan ekonomi rakyat melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) jelas membuktikan komitmen kerajaan negeri menggalakkan rakyat bergiat aktif dalam bidang perniagaan dan menjadi usahawan yang berjaya.

Beliau berpendapat, agihan peruntukan itu yang meliputi Program Mikro Kredit (RM4 juta), Program Mikro Kredit Belia Amanjaya (RM1juta) dan Kiosk Amanjaya (RM1 juta) juga dapat membantu melahirkan lebih ramai usahawan dari kalangan masyarakat India di negeri ini.
“Dewan Perniagaan India Perak menganggap bajet ini sebagai satu bajet yang benar-benar menyeluruh yang banyak memberi manfaat besar kepada rakyat negeri Perak,” ktanya kepada Suara Perak di pejabatnya di Ipoh pada Selasa.

Beliau mengulas Bajet Perak 2017 yang telah dibentangkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di persidangan hari pertama Dewan Undangan Negeri Perak hari ini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Prasarana , Pembangunan, Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Belia Perak, Muhamad Ariff Zaky Mohd Zulkafly pula berkata, bajet itu merangkumi semua perkara dengan tidak meminggirkan golongan belia.

Katanya, fokus kerajaan kepada pembangunan perumahan dianggap sebagai amat baik kerana ia akan mempermudahkan pemaju perumahan dalam menyediakan rumah yang jauh lebih murah untuk dimiliki golongan muda.

“Saya pasti dengan tertubuhnya Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak ini bersama-sama insentif yang diumumkan, pasti akan memberi satu sinar bagi golongan belia di negeri Perak.’’ Katanya.