HUTAN MELNTANG: Jangan cuba tanggal baju lama untuk cuba baju baharu kerana belum tentu ianya sesuai dengan badan, itu perumpamaan yang digunakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam memberi nasihat kepada para pengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata, rakyat seharusnya memilih sebuah kerajaan yang telah terbukti serasi dan selesa dengan rakyat bagi memastikan negara dapat terus dibangunkan.

“Baju lama juga sedap sebab kalau kita badan kecil jangan pakai baju besar, kalau badan besar jangan cari baju kecil, cari baju yang sepadan iaitu kerajaan sedia ada.

“Nak tukar-tukar selera buat apa? Biar lama sedikit tetapi selesa,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Jalinan Peladang Peringkat Negeri Perak di sini pada Selasa.

Tambah beliau, walaupun pihak pembangkang mendakwa mereka mempunyai program pembangunan yang lebih baik untuk rakyat namun fakta sedia ada menunjukan sebalikya.

“Tentulah ada orang lain akan kata kalau mereka diberikan kepercayaan mereka ada program yang lebih baik.

“Allah S.W.T takdirkan tiga negeri yang “tangki airnya” datang dari Putrajaya, apa mereka sudah buat untuk kita? Semuanya datang dari “tangki air besar” itu juga,” ujarnya.

Justeru Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, jika kerajaan Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk meneruskan pemerintahan pada PRU akan datang maka segala “keselesaan” dan “keserasian” yang dinikmati ketika ini dapat teruskan.