Oleh:Nazialita Geynna Maharan

MANONG: “Dua tiga hari sebelum mak pergi, arwah ada kata nak beli baju raya warna sedondon pada tahun ini. Sudah enam tahun tak beli baju raya, hairannya tahun ini mak begitu bersungguh-sungguh,” kata Rohana Rosli mengenangkan allahyarham ibunya.

Tidak disangka-sangka, ia adalah petanda ibunya, Siti Khadijah Syed Nordin, 41, meninggalkan empat orang anaknya buat selama-selamanya selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Senggang, pada awal pagi Ahad.

Allahyarham Siti Khadijah meninggal dunia apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli juadah bersahur.

Menurut Rohana, selepas kematian bapa mereka pada 2011, mereka sekeluarga tidak membeli baju raya kerana kesempitan wang dan hanya memakai baju lama.

“Namun, pada tahun ini, mak bersungguh-sungguh hendak membeli baju raya, mak nak kami pakai sedondon. Warna biar anak-anak yang pilih tapi arwah mak kata, semua kena sama warna.

“Kalau diikutkan perancangan mak, mungkin minggu ini kami pergi membeli baju raya. Sayangnya hasrat arwah mak tidak tercapai. Bila mak sudah tiada, semangat nak beraya pun sudah lenyap.

“Walaupun kami tidak memakai baju baharu semasa Hari Raya namun sambutannya tetap meriah. Raya kali ini, tiadalah rendang mak masak untuk juadah pagi raya,” ujanya dalam nada sayu.

Menurut Rohana, ibunya banyak menunjukkan tingkah laku yang pelik beberapa hari sebelum tragedi itu, malah sempat bergurau sambil menggeletek badannya beberapa kali.

Katanya, allahyarham juga langsung tidak tidur pada malam kejadian sebaliknya menghabiskan masa berbual-bual dengan anak-anaknya, seolah-olah tahu itu merupakan malam terakhirnya bersama keluarga.

“Malam itu macam-macam mak cerita. Dia kata nak besarkan rumah, nak tengok saya konvokesyen nanti. Mak macam mahu bermanja dengan anaknya.

“Masa dia keluar rumah, dia ada cakap nak beli makanan sahur. Bila saya terjaga jam 5.00 pagi, saya risau bila mak belum balik. Dalam waktu Subuh, ada orang datang beritahu mak kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, adik Rohana, Mior Rafie, 19, terkilan kerana membenarkan ibunya menggunakan motosikalnya walaupun berat hati untuk melepaskan allahyarham pada malam tersebut.

“Hari itu memang serba tidak kena. Saya balik ke rumah hampir jam 1.00 pagi tapi langsung tidak boleh tidur sedangkan badan penat. Kira-kira jam 3.00 pagi, mak datang ke rumah saya dan beritahu hendak beli makanan sahur.

“Tak pernah mak nak pinjam motosikal waktu sebegitu. Mulanya saya tidak benarkan, tidak tahu kenapa hati saya berat sangat hendah melepaskan mak pergi. Bila mak terus pujuk, saya benarkan juga,” katanya.

Menurut Meor Rafie, dia tidak dapat melelapkan mata selepas meminjamkan motosikal kepada ibunya; malah hatinya risau kerana ibunya tidak pulang-pulang sehinggalah diberitahu tentang berita kemalangan tersebut.

Tambahnya, pada minggu lepas, allahyarham ibunya sempat bermesan kepadanya supaya menjaga kakak dan adiknya namun dia tidaklah berasa sesuatu yang pelik pada waktu itu.

“Ketika itu kami sedang bekerja di kawasan Rehat dan Rawat, dan mak datang pada saya. Tiba-tiba sahaja dia pesan jaga adik dan kakak baik-baik selepas ini,” katanya.
WhatsApp Image 2017-06-14 at 05.11.16

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid yang melawat keluarga itu berkata, beliau akan mencari jalan bagi membantu empat beradik yang kini menjadi yatim piatu memandangkan kehidupan mereka bergantung sepenuhnya kepada ibu mereka sebelum ini.

“Kita akan meneliti keperluan adik-beradik ini. Anak sulung allahyarhamah masih lagi belajar di sebuah universiti di Terengganu dan kita akan lihat apa yang boleh kita bantu.

“Kita akan tunaikan impian terakhir allahyarhamah yang mahu anak-anaknya beraya dengan baju sedondon. Kita akan membeli baju raya untuk mereka dan biarlah mereka berpakaian sedondon raya nanti,” katanya.