KINABATANGAN: Tiga laras senjata buatan sendiri ‘bakakuk’ dirampas daripada seorang suspek disyaki pengedar dadah dalam serbuan di Kampung Buang Sayang, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.15 pagi itu, sebanyak 69 paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu dan 34 butir peluru dirampas daripada suspek berusia 28 tahun.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata sejam sebelum penahanan suspek itu, polis menahan pelanggannya, seorang lelaki berumur 39 tahun.

“Hasil soal siasat, lelaki yang positif dadah itu mendedahkan mendapat syabu daripada pengedar terbabit.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Polis kemudian berjaya mengesan lalu menahan suspek kedua di satu lokasi sebelum dia membawa polis ke sebuah rumah di kampung berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di atas siling sebuah bilik di rumah itu menemui 62 paket plastik lutsinar kecil dan tujuh paket besar berisi hablur jernih dipercayai berisi syabu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

A Sahak berkata, anggaran berat dadah itu ialah 50.94 gram dan bernilai RM5,000.

“Polis turut menemui tiga laras senapang buatan sendiri jenis bakakuk bersama 34 butir peluru hidup disembunyikan di bahagian atap rumah.

“Selain itu, wang tunai RM1,030 disyaki hasil kegiatan berkenaan dirampas dan semua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan, suspek didapati mula menjual dadah antara setahun hingga dua tahun lalu.” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Senjata Api 1960 – berita harian