SHAH ALAM – Rakaman video yang menunjukkan sebuah premis perancang perkahwinan di Seksyen 9 di sini diserbu kelmarin oleh kira-kira 100 individu tular di laman Facebook semalam.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6 petang itu mangsa ingin menuntut penjelasan daripada pemilik syarikat terbabit yang tidak menepati pakej perkahwinan seperti yang dijanjikan sehingga mengakibatkan kerugian ribuan ringgit.

Ini termasuklah kegagalan dalam menyediakan sajian makanan, pelamin dan gambar perkahwinan.

Difahamkan terdapat 91 pengantin yang dipercayai telah ditipu dan mengalami kerugian sehingga RM497,000.

Bagaimanapun, sebahagian mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam berhubung kejadian tersebut.

Seorang bakal pengantin, Zahran Zubir, 26, memberitahu, penipuan tersebut telah menyebabkan dia berasa bimbang kerana perkahwinannya akan berlangsung dua minggu lagi di Kulim, Kedah.

“Sejak heboh kejadian itu, kami berasa risau dan datang ke premis tersebut bagi menuntut wang yang telah dibayar untuk pakej perkahwinan.

“Namun, malang apabila ia (premis tersebut) ditutup pada hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di luar premis terbabit semalam.

-Kosmo