Oleh Noor Aida Abd. Aziz

KUALA KANGSAR: Ketika ramai mengimpikan kerja makan gaji di pejabat berhawa dingin dan berkerusi empuk, berlainan pula bagi pelajar Kolej Komuniti Kuala Kangsar yang menumpukan segala usaha untuk bergelar usahawan dalam bidang pastri dan bakeri.

Pengkhususan dalam bidang pastri di sini menjanjikan kepuasan buat para pelajar menghasilkan produk seperti kek dan roti dengan air tangan sendiri.

Minat yang mendalam mendorong Lee Kai Ling, 19, untuk menyingsing lengan bergelumang dengan tepung dan penggelek doh pada setiap hari.

“Saya membesar dengan melihat ibu saya hasilkan roti di rumah, saat itu timbul minat untuk belajar lebih mendalam tentang teknik membuat pastri.

“Datuk saya yang mencadangkan supaya lanjutkan pelajaran di sini, dan kini sudah hampir dua tahun saya mendalami ilmu pastri,” jelas Lee yang kini belajar di Semester Tiga, Kursus Pastri di Kolej Komuniti Kuala Kangsar.

Lee turut memasang cita-cita untuk memulakan perniagaan roti dan kek dengan jenamanya sendiri, jika tiada aral dia mahu meluaskan pasaran sehingga ke luar Perak.

pastri-baiduri 2

“Pembelajaran di sini tidak terhad kepada pembuatan pastri sahaja tetapi juga meliputi pendedahan tentang komunikasi. Selain itu kami juga terlibat dengan konsep praktikal, menjadi kepuasan bila lihat hasil pastri depan mata,”katanya.

Beliau ditemui Suara Perak ketika lawatan BAIDURI bersempena program membuat pastri (biskut raya) di kolej tersebut pada Rabu.

Semasa lawatan itu yang diadakan bersempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Kuala Kangsar, Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli bersama rombongannya berkesempatan membuat dua jenis biskut iaitu Biskut Viennese dan Moccachino.

Tambah menarik apabila ahli-ahli BAIDURI mempelajari secara ringkas resepi mudah dan pengalaman menghasilkan sendiri biskut itu dengan bimbingan dari tenaga pengajar serta pelajar kolej.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Industri dan Alumni Kolej Komuniti Kuala Kangsar, Nor Asmawati Ahmad Mouthi berkata, beberapa siri kejayaan sudah ditempa oleh alumni kolej komunitu itu.

“Baru-baru ini salah seorang pelajar kami yang belum lagi tamat konvokesyen tetapi sudah buka perniagaan sendiri berasaskan pastri dan bakeri, pendapatan minimum sebulan mencecah RM 4,000.

“Itu baru di peringkat Sijil, cuba bayangkan jika dia meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi. Sememangnya kami membudayakan keusahawanan dengan menggalakkan pelajar memulakan perniagaan di dalam kolej lagi.

“Tujuan kami adalah untuk memberi latihan teknik dan vokasional bukan sahaja kepada belia bahkan juga komuniti setempat,” kata Nor Asmawati.

Terdapat 124 orang pelajar di kolej ini, 20 orang daripadanya sedang menjalani Latihan Industri manakala 18 orang lagi meneruskan Pembelajaran Berasaskan Kerja di hotel bertaraf tiga bintang.