IPOH: Seorang lelaki dipercayai membakar dirinya dalam keadaan tangannya bergari di dalam kawasan Balai Polis Jelapang, dekat sini.

Suspek berusia 47 tahun dan tidak bekerja sebelum itu ditahan kerana cuba menggunakan kekerasan ke atas anggota balai polis berkenaan.

Terdahulu, lelaki itu datang ke balai polis berkenaan pada jam 1 pagi dalam keadaan mabuk untuk membuat satu laporan polis.

Anggota polis bertugas bagaimanapun menasihatkannya supaya menenangkan diri dan datang semula untuk membuat laporan selepas keadaannya stabil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Gan Tian Kee, berkata suspek kemudiannya menjadi marah dan meninggikan suara serta mengeluarkan kata-kata berupa ugutan iaitu akan menghebahkan tindakan polis enggan melayannya dalam laman sosial.

“Suspek kemudian keluar dari balai polis, namun tidak lama selepas itu datang semula dan menggunakan kekerasan seperti menolak anggota polis dan melakukan provokasi menyebabkannya anggota polis menahannya.

Polis turut menemui sebilah parang pada motosikalnya.

“Ketika itu, lelaki itu sudah digari dan dalam keadaannya meronta-ronta dengan kuat kerana digari, dia berjaya menyeluk saku seluarnya dan menyalakan pemetik api menyebabkan dirinya sendiri terbakar.

“Anggota polis yang mengawal berjaya membuka garinya dan memadamkan api menggunakan air paip berdekatan. Badannya melecur dan kini menerima rawatan lanjut di hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Tian Kee berkata, suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan individu dikehendaki.

Katanya, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 21 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 6 Akta Bahan Letupan dan Senjata Berbahaya.

-BeritaHarian