IPOH – Enam individu telah dipanggil dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes kebakaran lima kenderaan di Stesen Penguatkuasaan Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) Timbang Lori, Kuala Kangsar pada 6 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Ahmad Termizi Abd Haq berkata, enam individu tersebut adalah terdiri daripada kakitangan JPJ sendiri serta orang awam.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat tetapi kita tidak akan berdiam diri, tangkapan akan dibuat terhadap mana-mana suspek yang disyaki.

“Penyiasatan teliti bersama dengan pihak Jabatan Siasatan Jenayah ibu pejabat negeri sedang dilakukan dan sebarangan perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya pada satu sidang media di sini pada Khamis.

Beliau juga menambah, pihaknya masin menunggu laporan penuh mengenai kebakaran itu daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak.

Dalam kejadiaan 6 Februari lalu itu, tiga kenderaan JPJ dan dua kenderaan orang awam yang disita terbakar akibat disyaki perbuatan khianat.

Ahmad Termizi dalam sidang media sebelum ini memberitahu, hasil siasatan awal mendapati ketidak puasan hati berhubung tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh JPJ merupakan antara faktor perbuatan khianat itu dilakukan.