Pasir Puteh: Tiga belas suspek termasuk remaja 14 tahun ditahan dalam Ops Lejang selama tiga hari sejak 26 Februari lalu, di sekitar daerah ini.

Semua suspek berusia 14 sehingga 30 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata polis turut merampas empat kereta dan lapan motosikal dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

Beliau berkata, semua kenderaan yang dirampas dikesan mengubah nombor casis dan enjin.

ā€œKini, kita sedang mengesan baki sindiket untuk menyelesaikan kes curi kenderaan di daerah ini. Pada masa sama, pemeriksaan di lebih 30 bengkel haram di daerah ini turut dijalankan untuk mengesan kenderaan curi.

“Semua suspek ditahan reman empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, di sini, hari ini.

-myMetro