SHAH ALAM – Balingan selipar, kerusi, kasut, botol air dan suar di dalam program Nothing To Hide 2.0 didakwa disusun secara sistematik untuk mengenakan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad di atas pentas.

Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu jelas kelihatan apabila semua peralatan itu dibaling ke atas pentas utama di mana Mahathir berada.

“Dalam tempoh masa sejam setengah tiada masalah walaupun pelbagai isu sensitif dibangkitkan.

“Malangnya wujud elemen sabotaj yang sistematik .. kami rasa dan percaya ia ditujukan untuk sabotaj program dan mencederakan Tun M…jika dilihat selepas soalan seorang peserta itu, nampak botol kasut kerusi suar dicampak ke arah Tun, itu jelas,” katanya dalam sidang medianya sebentar tadi.

Dalam pada itu, Syed Saddiq menzahirkan rasa kecewa berhubung isu tersebut.

“Secara jujurnya kami kecewa sebab peringkat awal, tiada masalah.

“Jadi kami harap polis buat siasatan lanjut dan berterima kasih sebab polis membantu,” katanya lagi.

Program Nothing To Hide 2.0 yang sepatutnya mempertemukan Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pentas tidak menjadi kenyataan apabila kelibat pemimpin nombor satu negara itu tidak kelihatan.