Oleh: Mohd. Syafiq Noordin

IPOH: Balu seorang lelaki yang dibunuh di Lenggong pada 5 Mei lalu, merayu agar tangan kiri suaminya yang dilarikan dua suspek, dikembalikan untuk dikebumikan.

R. Bakiam, 66, berkata, tangan suaminya itu dipercayai ditetak dan dibawa lari oleh dua suspek di hadapan sebuah kedai makan dekat Kota Tampan dalam kejadian itu.

Suami Bakiam, K. Lathmana, 60, dipercayai dibunuh di hadapan kedai kopi di Kota Tampan dan tangan kirinya dikatakan dipotong suspek sebelum dibuang ke dalam Sungai Ulu Kenas, Kuala Kangsar.

Bakiam mendakwa, pihaknya tidak menerima kerjasama polis dalam mengambil tindakan terhadap dua suspek itu mahupun membantu mereka mencari tangan kiri mendiang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A. Sivasubramaniam yang menemani Bakiam pula mendakwa, pihak polis berjanji mendapatkan kembali separuh tangan kiri yang dilarikan oleh suspek tetapi sehingga masih tidak dipulangkan.

Katanya, ekoran itu, isteri mangsa mengadu tidak dapat tidur lena kerana pengkebumian suaminya tidak sempurna.

“Isteri mangsa meminta polis menyiasat semula kedua-dua suspek. Walaupun mereka telah ditahan selepas kejadian itu namun telah dibebaskan tanpa sebarang tindakan,” katanya di sini, pada Khamis.

Mereka ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh selepas membuat laporan mengenai gangguan yang didakwa dilakukan oleh kedua-dua suspek terhadap keluarga mangsa.

“Keluarga ini berada dalam ketakutan kerana diganggu; bila mereka mahu membuat laporan polis di Lenggong, ianya tidak benarkan, justeru kita buat di sini,” kata beliau.

Pihak polis yang dihubungi bagi mengulas dakwaan itu, mengeluarkan kenyataan rasmi segera pada Khamis.

Dalam kenyataan itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, kedua-dua suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada 19 Mei lalu.

Katanya, mereka dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan berdasarkan keterangan yang diperolehi.

“Siasatan menyeluruh telah dijalankan termasuk mengesan tangan kiri mangsa yang dibuang oleh suspek ke dalam Sungai Ulu Kenas dengan menggunakan anjing pengesan K9.

“Malangnya, ia gagal ditemui ekoran hujan lebat serta air sungai yang deras ketika kejadian,” ujar beliau.

Tian Kee menegaskan, pihak polis telah menjalankan siasatan yang telus dan adil berkenaan kes berkenaan.

“Suspek telah diberi jamin oleh mahkamah. Pihak polis bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas mangsa namun pertuduhan itu dibuat berdasarkan keterangan.

“Pihak polis tidak pernah menghalang keluarga membuat laporan polis dan tohmahan bahawa pegawai penyiasat bersekongol dengan suspek adalah tidak benar,” Katanya.

Tambah beliau, kehadiran ADUN Buntong dalam kes itu dianggap sebagai menangguk di air keruh dengan melemparkan tuduhan sedemikian terhadap polis.