TRONG – Kejadian ban penahan banjir di Sungai Temelok, di sini yang pecah kali kedua dalam tempoh lima bulan menggusarkan lebih 500 penduduk Kampung Temelok sejak petang semalam.

Lebih malang, laluan utama menghubungkan kampung itu dengan pekan berhampiran kini terputus setelah berlaku mendapan tanah serius susulan kejadian ban pecah tersebut.

Penduduk Kampung Temelok, Fadzli Mohd Yusop,35, berkata, kejadian ban sungai pecah itu turut menyebabkan lebih sepuluh rumah penduduk kini dinaiki banjir melebihi paras semeter sejak jam 7 petang semalam termasuk rumahnya.

Menurutnya, kejadian itu sebenarnya mengundang kebimbangan penduduk memandangkan sekurang-kurangnya 50 tambahan rumah penduduk kampung itu bakal terjejas sekiranya tindakan penyelesaian segera tidak diambil pihak berwajib.

“Masalah ban sungai pecah kali pertama berlaku pada bulan Mei lalu dan menyebabkan puluhan rumah penduduk kampung di sini terjejas.

“Kesan daripada itu, pihak berwajib hanya mengambil tindakan membaik pulih ban pecah terbabit secara ala kadar dan buktinya pada semalam, ban itu sekali lagi pecah di lokasi sama,”katanya kepada media sewaktu menerima kunjungan Adun Trong, Jamilah Zakaria di rumahnya dinaiki banjir hari ini.

Fadzli berkata, pihaknya kesal masalah ban sungai tidak utuh dan kegagalan Jabatan Pengairan dan Salira (JPS) daerah Larut, Matang dan Selama(LMS) melaksanakan kerja menyelenggara Sungai Temelok sejak sepuluh tahun lalu memberi padah kepada penduduk kampung.

Menurutnya, pihaknya menggesa JPS LMS segera membina semula ban penahan banjir lebih berkualiti di sepanjang Kampung Temelok menyusuri Sungai Temelok dengan kadar segera bagi mengelakkan rakyat menanggung kerugian akibat bencana banjir.

“Selain itu, kerja penyelenggaraan Sungai Temelok perlu dilaksanakan secara lebih kerap dan laluan utama penduduk diperbaiki semula demi memudahkan urusan kami ke pekan,”katanya.

Seorang mangsa banjir, Zabidah Abdul Khalid,52, dari Kampung Simpang Temelok meminta pihak kerajaan melaksanakan kerja pembersihan sungai-sungai di Dun Trong secara menyeluruh bagi mengelakkan limpahan air sungai kerap memasuki rumah penduduk.

Dalam pada itu, Jamilah sewaktu ditemui menegaskan pihaknya sudah memohon kerajaan negeri itu memberi perhatian segera terhadap kerja mendalamkan lima sungai utama di Dun Trong iaitu Sungai Temelok, Sungai Bemban, Sungai Tanah Liat, Sungai Punggok dan Sungai Trong.

Menurutnya, keadaan fizikal kelima-lima sungai ini dilihat sangat sempit dan menyebabkan air sungai cepat melimpah memasuki rumah penduduk sekiranya berlaku kejadian hujan lebat berterusan.

“Perkara ini saya sudah bangkitkan dalam Sidang Dun dan dikemukakan kepada pentadbiran daerah LMS untuk diambil tindakan segera.

“Saya difahamkan pelaksanaannya belum boleh dibuat disebabkan kekangan peruntukan, namun saya berharap rayuan penduduk diberi pertimbangan serius kerana ini melibatkan kesejahteraan hidup penduduk,”katanya.

Jamilah turut menggesa pentadbiran daerah LMS agar menyegerakan pembinaan ban penahan banjir di kawasan ban pecah di Kampung Temerlok dengan kadar segera.

“Pembinaan infrastruktur ini penting bagi mengelakkan penduduk berterusan menanggung kerugian harta benda akibat banjir berulang.

“Saya akan terus memperjuangkan isu ini kerana demi keselamatan dan nyawa penduduk kampung berkenaan,”katanya – sinar