IPOH: Ban projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kerian dekat Alor Pongsu di sini tidak pecah sebaliknya berada dalam keadaan baik, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Beliau berkata, dakwaan yang tular di media sosial mengenai ban itu pecah dan banjir kilat akan melanda dalam beberapa jam adalah tidak benar sama sekali.

“Pemantauan yang dijalankan oleh pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran Kerian semalam dan hari ini mendapati tiada ban projek RTB Sungai Kerian yang pecah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Dakwaan yang tular di media sosial menyatakan ban projek RTB Sungai Kerian pecah dan banjir kilat akan melanda beberapa jam lagi di pekan Baharu dan pekan Bagan Serai selain menasihatkan penduduk supaya meletakkan barangan rumah di tempat tinggi sebelum banjir berlaku. — BERNAMA