ALOR PONGSU – Kejadian mendapan tanah yang berlaku di Ban Kampung Matang Pasir, di sini Sabtu lalu mengakibatkan sebuah rumah pam bernilai RM4.8 juta yang sedang dalam pembinaan terjejas.

Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata, kejadian itu difahamkan berlaku pada waktu awal pagi Sabtu lalu di mana pihaknya dimaklumkan mengenai lebih kurang jam 10 pagi oleh penduduk tempatan.

Menurutnya, hasil tinjauan bersama penduduk setempat, pihaknya mengenal pasti sekurang-kurangnya 20 meter kepanjangan ban di lokasi kejadian mengalami rebakan teruk akibat mendapan tanah.

“Lebih malang, kesan rebakan akibat kejadian mendapan tanah itu turut mengakibatkan sebuah rumah pam bernilai RM4.8 juta yang kini sudah disiapkan hampir 80 peratus terjejas teruk.

“Berdasarkan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian, faktor utama berlakunya rebakan dan mendapan pada sebahagian ban itu disebabkan kegagalan tambakan ban menampung bebanan berlebihan akibat kerja pembinaan rumah pam itu,” katanya kepada media di sini hari ini.

-Sinarharian