Oleh: Al Yashir Datuk Yahaya

Pada 4 April lalu bermulalah Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Saya sendiri telah melihat perjalanan sidang DUN kali ini sangat mudah buat Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri Perak menangkis segala tohmahan yang diajukan oleh pihak pembangkang. Jelas, pembangkang sudah ketandusan isu di negeri ini dengan memainkan isu-isu nasional yang “dikitar semula” sebagai isi-isi perdebatan.

Isu pertama yang dibangkitkan merupakan isu pemilihan DUN Belia oleh YB Howard Lee (ADUN Pasir Pinji) yang juga Pemuda Sosialis DAP (DAPSY). Buat makluman pembaca, saya adalah salah seorang yang menawarkan diri untuk memerhati perjalanan pemilihan Ahli-ahli DUN Belia. Daripada dapatan saya, tiada diskriminasi tentang pemilihan dari segi warna kulit, taraf ekonomi, pendidikan mahupun parti politik. Jika dilihat, Ahli-ahli DUN Belia negeri Perak terdiri daripada segenap lapisan masyarakat. Mereka mewakili pelajar sekolah, mahasiswa, pemimpin belia, atlet, orang kurang upaya, dan orang asal. Tiada isu dalam pemilihan dan saya yakin jika ada belia-belia dari DAPSY yang ingin bersama-sama dengan DUN Belia, ia bukanlah satu masalah. Sudah terang lagi bersuluh, satu pembaharuan yang dibawa oleh Menteri Besar Perak untuk mendengar hasrat anak-anak muda secara inklusif telah menjengkelkan pembangkang yang tampaknya tidak progresif dan inovatif untuk menghasilkan program-program yang berimpak tinggi untuk belia.

Lucunya, satu program semasa berlangsungnya sidang DUN dikatakan untuk anak-anak muda telah dianjurkan oleh DAPSY Perak. Program lawatan ke sidang DUN kali ini telah digembar-gemburkan bagai nak rak hanya disertai oleh segilintir “belia-belia tua”. DAPSY Perak makin terdesak untuk menjalankan aktiviti tersebut kerana anggapan mereka pilihanraya semakin hampir dan peliknya sebelum ini mereka tidak pernah melakukan program sedemikian rupa, hanya untuk mengejar publisiti.

Seterusnya, YB Yong Choo Kiong yang mengutuk tindakan Menteri Besar Perak bersama-sama dengan pekerja Majlis Bandaraya Ipoh mengutip sampah baru-baru ini membuktikan tiada lagi isu-isu penting yang boleh digunapakai oleh pihak pembangkang untuk mengkritik pentadbiran negeri yang diketuai oleh Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir. Dr. Zambry merupakan menteri besar pertama yang melakukan aktiviti sedemikian rupa dengan niat mencorak langkah agar pemimpin-pemimpin lain di negeri ini mengikuti teladan untuk turun ke bawah menyelami denyut nadi semua lapisan tenaga kerja. Ia bukanlah satu gimik politik tetapi merupakan satu kebiasaan bagi beliau untuk mendampingi semua lapisan masyarakat kerana beliau masih ingat akan asal usulnya yang hanyalah seorang anak nelayan di Pangkor dan pernah merasa keperitan hidup satu ketika dulu.

Pembangkang perlu lihat dari sudut positif pembangunan masyarakat yang dibawa oleh pentadbiran Dr. Zambry. Sebagai contoh, Kedai Bergerak 1Amanjaya atau KB1AJ yang diselaraskan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan telah mendapat sambutan yang amat memberansangkan daripada penduduk luar bandar. KB1AJ adalah konsep jualan bergerak atau mobile sales di mana lori-lori yang memuatkan barang-barang keperluan asas dijual dengan harga yang amat rendah. Ia satu usaha yang mampan untuk membantu penduduk luar bandar di dalam keadaan ekonomiyang tidak menentu. Saya mahu bertanya apakah inisiatif pembangkang di negeri untuk membantu rakyat ?

Selain itu, satu agensi di bawah portfolio Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia yang dikepalai oleh YB Datuk Shahrul Zaman Yahya iaitu Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) telah dapat membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi di negeri Perak melalui job match-making. Ini terbukti melalui data yang memperlihatkan seramai 1,549 orang telah berjaya mendapat pekerjaan dari Januari hingga Mac 2017. Pertumbuhan yang sihat ini di dalam jangka masa panjang akan dapat mengurangkan human capital flight yakni tenaga kerja dari negeri ini bermigrasi ke negeri lain untuk mencari pekerjaan sekaligus akan memantapkan lagi perkembangan ekonomi di negeri ini.

Isu lapuk yang dibangkitkan dan percubaan untuk memburukkan Menteri Besar Perak dan mengelirukan rakyat oleh YB Ngeh Koo Ham tentang Perbadanan Menteri Besar atau MB Inc. jelas tidak membuahkan hasil. MB Inc. yang telah digerakkan semula pada tahun 2014 telah berjaya membantu meningkatkan hasil royalti pasir 61 kali ganda. YB Ngeh patut berbangga dengan pencapaian ini, kerajaan negeri telah berupaya menangani masalah ketirisan isu pasir sehingga negeri Perak ingin dijadikan model oleh negeri-negeri lain. Mengapa perlu bangkang seperti “bangkang dari longkang?”

Satu perkara yang saya rasakan janggal adalah apabila YB Datuk Seri Nizar (ADUN Changkat Jering) tidak lagi memperkatakan tentang isu kegemaran beliau iaitu isu Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). Antara yang sering diperkatakan oleh Nizar di dalam siding DUN sebelum ini adalah USAS hilang identiti Islamik, USAS bukan universiti awam, dan bermacam-macam lagi tuduhan tidak didengari kali ini. Mungkin NIzar sudah kehilangan idea dan setuju dengan penubuhan USAS.

Saranan saya kepada pembangkang di Perak, jangan membuang masa rakyat untuk kami mendengar perbahasan yang tidak informatif. Rakyat khususnya anak muda mahu isu-isu penting diperdebatkan. Jika kerajaan negeri telah lakukan perkara yang baik, haruslah dipuji dan diambil sebagai contoh sebaliknya jika ada kekhilafan, kritik dengan fakta dan bukan auta. Memetik kata-kata Winston Churchill, “If we open a quarrel between past and present, we shall find that we have lost the future”.
*Penulis merupakan Koordinator Barisan Nasional Youth Volunteers Perak