Kuala Lumpur: Pemain kebangsaan, Faizal Saari memastikan Pasukan Hoki Terengganu (THT) menjulang Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas menjaringkan gol selain membantu satu lagi jaringan ketika menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), semalam.

Kebangkitan lewat THT menyaksikan mereka menang 2-1 dan mengetuai liga dengan 24 mata. KLHC menamatkan saingan di kedudukan kedua, empat mata di belakang.

KLHC melangkah ke perlawanan itu selaku juara Sumbangsih dan Piala Alagendra, tetapi THT menyekat impian mereka untuk menjulang piala ketiga di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam.

THT hanya memerlukan seri untuk muncul juara, tetapi Nabil Fiqri memberikan pendahuluan buat KLHC pada minit ke-38 dan kelihatan hampir pasti menjulang piala.

Bagaimanapun, pemain import Korea Selatan, Jang Jonghyun dikenakan penalti kerana melambatkan permainan sekali gus membolehkan Faizal Shaari menyamakan kedudukan pada minit ke-50.

Tiga minit kemudian, Faizal menewaskan dua pemain lawan sebelum membuat hantaran kepada Lopez Barreiros yang mudah memperdayakan penjaga gol KLHC, Roslan Jamaluddin.

“Kami masih belum tewas dalam saingan MHL (tujuh menang dan tiga seri). Kami tidak mahu menyerahkan gelaran liga kepada KLHC.

“Bukan setakat ini tetapi kami juga mahu memenangi piala TNB selepas ini nanti,” kata Faizal.

Jurulatih THT, Sarjit Singh gembira dengan kejayaan itu walaupun anak buahnya terlepas banyak peluang untuk menjaringkan gol.

“Kami sepatutnya muncul pemenang dalam keadaan lebih mudah, tetapi kesilapan pertahanan memberikan pendahuluan buat KLHC menyebabkan kami terpaksa mengejar. Pujian harus diberikan kepada pemain kerana mereka berjaya bangkit dan tidak membenarkan KLHC membawa pulang gelaran ketiga,” kata Sarjit.