BIDOR – Lebih 200 pelajar Maahad Al- Abbasiah dipindahkan selepas bangunan sekolah itu dimasuki air akibat limpahan dari lombong berhampiran, petang tadi.

Kejadian sekitar jam 5.30 petang itu berlaku akibat hujan lebat melanda kawasan terbabit.

Semua pelajar termasuk guru dilaporkan selamat dan anggota bomba telah meletakkan papan pengadang untuk mengalihkan aliran air lombong ke tempat lain.

Exco Kerajaan Perak, A Sivanesan berkata, siasatan awal mendapati, limpahan itu berlaku akibat benteng tambahan yang dibina di belakang sekolah itu, pecah.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan air masuk hingga dalam kawasan asrama.

“Seramai 209 pelajar lelaki dan perempuan dan 30 guru telah dipindahkan ke tempat selamat sementara menunggu keadaan reda.

“Kita turut menyediakan bantuan makanan untuk pelajar malam ini,” katanya.

Beliau yang juga Adun Sungkai berkata, satu lawatan bersama agensi terlibat akan dilakukan esok pagi bagi memantau keadaan itu – sinar