IPOH: Bangunan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang bakal dibina di sini akan merancakkan lagi Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ini kerana bangunan baharu yang akan dibina dengan kos RM70 juta itu akan memberi manfaat kepada lebih 39,978 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berdaftar di negeri ini sekaligus meningkatkan ekonomi Perak.

de9fe761-f632-41e8-a3b6-4b02801a352b

“Sebelum ini kita sering terlepas pandang peranan IKS ini yang sebenarnya memberi kesan besar kepada ekonomi negara serta negeri, Ianya kelompok yang amat-amat penting dalam usaha kita menjana ekonomi.

“Jadi bangunan SSM ini akan berperanan besar dalam memperbanyakkan lagi PKS-PKS berdaftar dan perkembangankan lagi sektor itu melalui bimbingan dan sebagainya,” kata beliau dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah bangunan 10 tingkat itu di Sungai Senam, di sini pada Selasa.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Henry Sum Agong.

c0146c86-cc2b-4156-a6fb-729187773e9a

Dr Zambry turut memberitahu kerajaan negeri amat berbesar hati kerana SSM telah memilih Perak sebagai negeri pertama untuk projek Pembangunan berkenaan.

“Ini merupakan bangunan pertama SSM yang dibina di luar Kuala Lumpur dan Ianya merupakan penghargaan untuk kita,” jelas beliau.

Sementara itu, Henry memberitahu pemilihan Ipoh atau Perak dibuat ekoran daripada jumlah pendaftaran perniagaan dan pemerbadanan syarikatnya yang amat besar.

“Di negeri ini terdapat sebanyak 103,992 pendaftaran perniagaan dan 37,533 pemerbadanan syarikat. Jumlah ini merupakan suatu angka yang sangat besar.

“Bangunan baharu ini juga membuktikan SSM sebenarnya sangat komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat bagi meningkatkan ekonomi mereka serta keluarga,” ujar beliau.

Bangunan SSM yang mempunyai 10 tingkat itu akan dibina di tanah berkeluasan 17.7 ekar dekat Sungai Senam dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2020.