IPOH- Kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang permohonan dan cadangan projek dari pihak swasta yang berminat untuk membangunkan Pekan Papan yang dilihat berpotensi sebagai lokasi pelancongan baharu di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kesenian, Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata terdapat beberapa cadangan projek yang dirancang di kawasan itu yang mempunyai nilai warisan.

“Berdasarkan kajian Rancangan Tempatan Majlis Daerah Batu Gajah 2025, kos bagi semua cadangan projek ini dianggarkan sebanyak RM 12.6 juta.

“Antara yang dirancang seperti menghidupkan semula Pekan Papan (menaiktaraf Pekan Papan, Istana Raja Billah dan cadangan Kampung Warisan Papan.

“Fasa pembangunan bagi cadangan ini adalah pada 2018-2020 (Fasa ii) da 2021-2025 (Fasa iii),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Adun Jelapang, Cheah Pou Hian di Sidang Dewan Undangan Negeri di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, menurutnya tema dan fungsi Pekan Papan yang ditetapkan adalah berasaskan eko-pelancongan serta nilai sejarah yang terdapat di situ.

“Cadangan awal yang ditetapkan seperti pekan persinggahan kepada pelawat Hutan Lipur Papan dan Taman Herba Papan, pusat pengumpulan, pemprosesan dan pengagihan herba serta tapak perfileman,” katanya.