PENGKALAN HULU: Produk pelancongan di Pengkalan Hulu wajar dibangunkan dengan lebih aktif, khususnya dengan kerjasama penduduk setempat, kata Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman.

Beliau berkata, antara produk itu ialah Gua Gendang yang menjadi tarikan utama bagi pasukan eskpedisi Malaysia yang menggemari pengembaraan alam semulajadi.

Menurut beliau, gua yang terletak berhampiran Gua Itik itu sangat unik kerana mempunyai tasik dan sebatang sungai yang mengalir hingga ke Baling, Kedah.

“Jika kita menyelam di tasik itu, kita akan terdengar bunyi seolah-olah paluan gendang dan ini merupakan produk pelancongan yang amat baik,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Pesta Songkran Pengkalan Hulu 2017 pada Khamis.

Lebih 2,500 pengunjung dari sekitar Kedah, Perlis, Perak, Kelantan dan Thailand menyaksikan dan mengambil mengambil bahagian di dalam pesta tahunan itu.

Hasbullah berkata, Pesta Songkran yang diadakan sejak 44 tahun lalu di Kg Tasek yang menjadi tumpuan masyarakat Siam, turut menjadi satu lagi produk pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.

Beliau memberitahu, Perak merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai perkampungan rasmi masyarakat Siam yang terdiri daripada lebih 3,500 penduduk di sekitar Kg Belukar Semang, Kg Pong dan Kg Tasek.

“Keisitimewaan kita pula adalah Pengkalan Hulu terletak berhampiran sempadan Jeli di Kelantan, Baling di Kedah dan Betong di Thailand yang harus dimanfaatkan.

“Saya syorkan supaya penduduk kampung majukan produk ini kerana ia sememangnya acara yang dinantikan bagi masyarakat Malaysia, khususnya Wilayah Utara,” ujarnya.

Beliau juga mengajak masyarakat Siam, Melayu, Cina dan India di kawasan itu untuk bekerjasama mengusahakan pertanian durian klon seperti Musang King atau D24 yang berkualiti dari kawasan Pengkalan Hulu.

Hasbullah berkata tiada yang mustahil sekiranya semua pihak, khususnya penduduk setempat bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memajukan semua produk pelancongan sedia ada dengan lebih komited.