IPOH – Dewan Perindustrian Islam Malaysia (DPIM) Perak mencadangkan agar kawasan Kediaman Menteri Besar Perak yang akan dijual dibangunkan sebagai pusat komersial bumiputera.
Yang Dipertuanya, Datuk Zahar Hashim berkata, memandangkan kawasan itu strategik, ia boleh dibangunkan dengan kompleks perniagaan berkonsepkan pusat sehenti.
Katanya, kompleks perniagaan itu menempatkan pelbagai barangan borongan, perniagaan makanan dan perkhidmatan.
“Di Ipoh ini, kita perlukan satu pusat sehenti seperti GM Klang yang orang boleh datang mencari apa sahaja barangan tetapi kita cadangkan untuk Bumiputera.
“Berilah lokasi strategik untuk bumiputera berniaga, jika ini berjaya dilaksanakan, orang akan kenang kerajaan Harapan ini sebagai kerajaan yang prihatin,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai cadangan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu untuk bangunkan kawasan Kediaman Rasmi Menteri Besar itu kerana tidak sesuai didiami atas faktor keselamatan.
Zahar berkata, kompleks itu juga nanti boleh menjadi tarikan baharu bagi negeri ini sekaligus menarik perhatian pelancong – sinar