TELUK INTAN: “Guo Jun, bangunlah, kelas dah nak mula ni!”

Itulah antara ayat-ayat yang terkeluar dari mulut rakan sekelas Guo Jun yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan San Min, dekat sini, ketika melawat jenazahnya, petang ini.

Suasana pilu menyelubungi rakan-rakannya yang tidak menyangka pertemuan terakhir mereka di sekolah, semalam, berakhir dengan kematian Guo Jun.

Cheah Guo Jun, 17, meninggal dunia manakala tiga lagi rakannya mengalami kecederaan parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Pelabuhan Gaddarf Mable di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Teluk Intan, Asisten Komisioner Marzukhi Mohd. Mohktar mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta Mitsubishi Lancer yang dipandu pelajar itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas selepas cuba mengelak seekor anjing yang sedang melintas jalan.

“Kereta tersebut terbabas ke kiri jalan sebelum masuk ke dalam parit kecil,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Bapa Guo Jun, Cheah Jing Hua berkata, anak lelakinya itu merupakan seorang yang rajin dan tidak pernah mengeluh untuk membantunya bekerja sebagai seorang peniaga.

guo-jun 4

Katanya, beliau tidak menyangka bahawa permintaan terakhir anaknya untuk bermalam di rumah sahabat karibnya merupakan petanda anaknya akan pergi meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya.

“Dia memberitahu yang dia ingin menghabiskan masa bersama kawan-kawannya, saja nak berbual-bual dan tidur di rumah rakan karibnya.

“Pada mulanya, kami berasa hairan kerana ini kali pertama dia ingin tidur di rumah kawannya tetapi kami iyakan sahaja, sebab kami fikir apa salahnya,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah urus mayat Teluk Intan pada petang Jumaat.

Bagaimanapun, kata Jing Hua, beliau tersentak ketika menerima panggilan pada kira-kira pukul empat pagi tadi.

“Siapa yang dapat membayangkan perasaan saya ketika menerima panggilan itu yang memberitahu anak saya sudah tiada pada jam 4 pagi kerana terlibat dalam kemalangan.

“Rupa-rupanya, kami diberitahu bahawa Guo Jun berkeras ingin pulang ke rumah dan memutuskan untuk tidak tidur di rumah kawannya,” ujarnya dalam keadaan sedih.

Sementara itu, ibu Guo Jun, Ng Yue Hua berkata, beliau masih tidak dapat menerima hakikat anaknya telah meninggal dunia lebih awal darinya.

“Kalaulah dia bermalam di rumah rakannya, mungkin dia masih ada di samping saya ketika ini,” katanya dengan air mata berlinangan di pipinya.

guo-jun 2