KAMPAR: Cuaca baik sejak malam tadi membolehkan keadaan banjir di Kampung Cabang Dua, Kuala Dipang dekat sini pulih sepenuhnya pagi ini.

Sehubungan itu, pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Komuniti Kampung Kuala Dipang Sekolah ditutup pada 12 tengahari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kampar, Khairul Anwar berkata, keputusan itu selepas pemantauan yang dibuat oleh agensi-agensi keselamatan.

“Hasil pemantauan agensi-agensi keselamatan, didapati air banjir telah surut sepenuhnya dan kediaman semua mangsa selamat untuk diduduki.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan penutupan Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Dewan Komuniti Kampung Kuala Dipang berkuatkuasa pada 11 Jun jam 12.00 tengahari,” katanya di sini.

Beliau merakamkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat bertungkus lumus menyeliakan PPS tersebut.

Sebelum ini pusat pemindahan itu menempatkan 14 mangsa dari dua keluarga apabila rumah mereka di Kampung Cabang Dua dinaiki air sejak Jumaat lalu.

Dengan penutupan itu, banjir di Perak pulih sepenuhnya selepas PPS di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong di Teluk Intan ditutup sepenuhnya mulai Isnin.