KOTA KINABALU 26 Jan. – Keadaan banjir di daerah Pitas dan Beluran semakin baik dengan jumlah mangsa yang masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan menurun kepada 228 orang daripada 86 keluarga.

Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana negeri, Kolonel Mulliadi Al Hamdi Ladin berkata, paras air di Sungai Bengkoka dan Sungai Labuk juga semakin turun hari ini.

“Di Pitas hanya satu sahaja pusat pemindahan masih dibuka yang dihuni 45 mangsa daripada 10 keluarga manakala di Beluran dua pusat pemindahan ditutup berbanding lima yang beroperasi semalam.

“Paras air sungai semakin surut kerana tiada hujan di Beluran manakala di Pitas hujan renyai-renyai ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kampung yang masih terjejas di Beluran ialah Kampung Batangon Darat dan Kampung Kobambangan.
Menurutnya, di Pitas, empat buah kampung masih dinaiki air iaitu Kampung Sibaung, Kampung Kabatasan, Kampung Birasan Taka dan Kampung Salimpodon Laut. – UTUSAN ONLINE.