TELUK INTAN: Cuaca baik sejak malam tadi membolehkan keadaan banjir di beberapa buah kampung di Changkat Jong dekat sini pulih sepenuhnya pagi Isnin.

Sehubungan itu, pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, ditutup pada 9.40 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak, Marlia Mohd Belia berkata, keputusan itu selepas pemantauan yang dibuat oleh agensi-agensi keselamatan.

“Hasil pemantauan agensi-agensi keselamatan didapati air banjir telah surut sepenuhnya dan kediaman semua mangsa selamat untuk diduduki.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan penutupan Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di SK Changkat Jong berkuatkuasa pada 10 Jun, jam 09.40 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat bertungkus lumus menyeliakan PPS tersebut sejak Jumaat lalu.

Pada Jumaat, banjir melanda Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9 sebelum Kampung Batu 7 1/2 pula dinaiki air pada Sabtu menyebabkan 127 penduduk daripada ketiga-tiga kampung terpaksa dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong.