TELUK INTAN – Dua pusat pemindahan masing-masing satu di Dun Changkat Jong dan Dun Sungai Manik dibuka, semalam bagi menempatan 129 mangsa selepas hujan lebat menyebabkan air sungai melimpah masuk ke kediaman penduduk.

Pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong dibuka pada jam 4 pagi bagi menampatkan 27 keluarga dari Kampung Batu 9 dan Simpang 3.

Sementara Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dibuka sekitar jam 1 petang menempatkan 12 keluarga dari Kampung Belakang Kedai Degong dan Kampung Guru Degong.

Pegawai Daerah, Shahrunaim Radzali berkata, semua jabatan telah diarah untuk membuat pemantauan di kawasan terlibat.

Menurutnya, banjir kembali melanda kawasan itu berikutan paras air Sungai Bidor yang tinggi direkodkan, Isnin lalu.

“Antara kawasan yang mungkin dinaiki air ialah Kampung Air Hitam, Kampung SC, Batu 9, Batu 8, Kampung Glouster dan Lorong mesra Batu 7,” katanya.

-Sinarharian