Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SELAMA: Penduduk di Kampung Garok di sini, berdepan dengan detik-detik mencemaskan apabila air naik sehingga mencecah paras dada dalam kejadian banjir kilat, malam tadi.

Dalam kejadian pada sekitar 10 malam itu, seramai 65 mangsa banjir melibatkan 23 keluarga terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat yang berlarutan hamper tiga jam.

469fbb90-67d2-4f2b-a1bb-79c15e4dfa49Warga emas, Zahara Kadir, 67, menceritakan pengalaman mencemaskan apabila terpaksa menghadapi banjir kilat itu seorang diri.

Katanya, air yang naik dengan cepat membuatkannya trauma apatah pada ketika itu, beliau baru ingin melelapkan mata.

“Selalunya ada juga air naik tetapi setakat buku lali sahaja. Kali ini, air naik terus sampai pinggang makcik. Makcik tak sempat nak bawa apa-apa. Semua perabot dan dokumen penting makcik nampak terapung-apung malam tadi.

“Habis semua tenggelam. Sayur-sayur di kebun makcik semua habis. Makcik merayu kalau boleh diperbaiki dan ditinggikan ban banjir berhampiran kampung ini,” katanya.

Ibu tunggal ini berkata, beliau bersyukur kerana jiran-jiran datang memeriksa keadaannya ketika paras air mencecah paha dan dia ditempatkan di pusat pemindahan sebelum dibenarkan pulang pada hari ini.

Tinjauan Suara Perak mendapati banjir kilat yang melanda empat perkampungan itu turut menjejaskan harta benda penduduk termasuk kenderaan yang diletakkan di pekarangan rumah di kawasan tanah rendah itu.

Antara kampung yang terlibat dalam kejadian banjir itu ialah Kampung Banggol Jas, Kampung Garok, Sungai Berdarah dan Sungai Setar.

Mangsa-mangsa banjir dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara di Surau Banggol Jas, Balai Lintang Masjid Al Aziziah Sungai Bayor dan Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Setar.

df387d0e-7817-4f30-9ab6-4cc11412f2ccGhadaffi Mohd Zain, 24, berkata, inilah kali pertama beliau melihat banjir seteruk itu melanda kampungnya yang sekaligus menyebabkan dia kerugian apabila kenderaan persendirian dan kereta milik syarikat terjejas dalam banjir itu.

Katanya, kenderaan berkenaan digunakan oleh ahli keluarganya sebagai mata pencarian mereka.

“Kami bernasib baik kerana keluarga saya tidak terjejas. Sewaktu air naik dengan deras, saya cuma dapat memikirkan keadaan anak, keluarga dan emak saya yang berada di dalam rumah. Barang-barang dapur itu memang tak payah cakaplah, memang semuanya tak sempat selamatkan,” katanya lagi.

Sementara itu, ketua kampung Kampung Garok, Alias Othman berkata, banjir kilat yang berlaku pada malam tadi adalah akibat hujan lebat namun ia tetap menimbulkan keresahan di kalangan penduduk kampung berkenaan.

“Saya mengucapkan terima kasih pada semua pihak yang membantu untuk memastikan keselamatan penduduk kampong. Harapan saya agar pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah yang menyebabkan banjir di kampung ini secepat mungkin.

“Sebelum ini, ada juga banjir yang berlaku, namun hanya di pekarangan rumah. Kali ini adalah kali pertama kejadian banjir paling besar melanda Kampung Teluk Garok ini,” ujarnya.