Oleh: Abd Razak Mohd Ali

IPOH: Hujan lebat petang tadi menyebabkan Jalan Gerik – Jeli di seksyen 127 di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Lebey dilanda banjir lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu menyebabkan hanya satu lorong sahaja dibuka.

Menurut beliau, panjang kawasan terlibat ialah 250 meter dengan lebar tujuh meter.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Perak dan syarikat konsensi dalam proses membersihkan kawasan terlibat,” katanya ketika dihubungi lewat malam ini.

Di samping itu, kata Zainol, sebagai tindakan awal, pihak berkenaan juga telah menyediakan papan tanda amaran kawalan lalulintas.

Beliau menasihatkan pengguna jalan tersebut supaya lebih berhati-hati dan mengikuti papan tanda yang disediakan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.