BAGAN SERAI: Mangsa banjir di Daerah Kerian, merayu kerajaan negeri mencari jalan mengatasi masalah banjir yang masih membelenggu mereka walaupun Rancangan Tebatan Bajir (RTB) Lembangan Sungai Kerian yang menelan belanja lebih RM350 juta siap tiga tahun lalu.

Dua hari lalu, 64 keluarga dari Kampung Wawasan Indah dipindahkan kerana rumah mereka dinaiki banjir kilat.

Dalam kejadian terbaru, 38 orang daripada sembilan keluarga di Kampung Matang Tengah, Bagan Serai terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak kerana rumah mereka dinaiki air.

Mangsa yang ditemui merayu tindakan segera diambil agar mereka boleh balik segera ke rumah masing-masing, seterusnya membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Zainab Ishak, 54, dari Kampung Matang Tengah berkata, walaupun banjir mula melanda sejak Jumaat, beliau dan suami hanya berpindah pada Isnin kerana air telah memasuki rumah kira-kira 0.6 meter.

“Dah mula hari Jumaat tetapi saya masih bertahan hingga semalam sebab air dah masuk rumah paras lutut.

“Barang-barang di rumah pula kami telah letak di atas meja, tapi tidak tahulah macam mana keadaannya sekarang kerana kami tidak balik ke rumah lagi,” katanya.

Ramlah Said, 64, pula berkata, banjir yang berlaku di kampung mereka telah berlanjutan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Beliau yang tinggal bersama anak dan tiga cucunya berkata, hanya datang ke pusat pemindahan sementara apabila air mula memasuki rumahnya.

“Ini dah kira-kira lima enam hari banjir, pindah baru semalam, kalau sikit-sikit kami tidak pindah, selagi air tak masuk dalam rumah, selagi itu kami bertahan hinggalah banjir air dah masuk melalui pintu,” ujarnya.

Mengakui kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi banjir, termasuk projek RTN Kerian, beliau berharap kerajaan tidak putus asa dan terus berusaha untuk membantu mereka.

“Cari jalanlah, kalau boleh tinggikan ban ke atau cari jalan bagaimana air yang banyak boleh dikeluarkan supaya cepat surut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata, banjir yang berlaku di luar musim itu disebabkan hujan lebat yang turun di kawasan itu sejak seminggu lalu dan bertembung dengan air pasang laut.

“Walaupun kita punya rancangan tebatan banjir, rumah pam kita semua dah siap tetapi oleh kerana hujan yang terlampau lebat dan bertembung dengan air pasang ini, jadi kita tidak boleh mengelak, terpaksa juga kita buka pusat pemindahan.

“Saya akan kemukakan kepada pihak kerajaan negeri dan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) untuk kita tambah pam boleh alih di tempat-tempat yang sesuai untuk kita mengambil tindakan segera mengepam air masuk ke laut,” ujarnya.

Selain itu, Sham meminta kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan untuk membina sebuah lagi kolam takungan, sebagai tambahan kepada Kolam Bukit Merah, bagi menampung air hujan yang berlebihan.