IPOH – Seramai 300 mangsa banjir masih ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah dalam negeri ini iaitu Hilir Perak, Larut Matang dan Selama serta Kampar.

Sekretariat Pengurusan Bencana Perak, dalam satu kenyataan memaklumkan Daerah Hilir Perak mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 227 orang daripada 58 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Teluk Intan.

Bagi Daerah Larut Matang dan Selama, dua PPS masih dibuka iaitu PPS SK Temerlok dan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Matang Gelugor yang menempatkan 47 mangsa daripada 14 keluarga.

Manakala sebuah PPS di daerah berkenaan iaitu PPS Masjid Nurul Hidayah, Trong ditutup jam 11.30 pagi semalam selepas air surut.

Sementara itu, sebuah PPS masih lagi dibuka di Daerah Kampar melibatkan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tebing Tinggi yang menempatkan 46 mangsa daripada 14 keluarga – sinar