MELBOURNE: Selepas banjir di Queensland, utara Australia surut negeri itu berdepan pula bahaya baru iaitu buaya.

Menerusi beberapa gambar yang dirakam penduduk, tetamu tidak diundang itu dikatakan berjaya sampai ke bandar Ingham di utara negara itu, selepas hujan lebat selama empat hari memecahkan tebing sungai dan membanjiri beberapa bandar.

Penyelidik buaya di Zoo Australia Queensland, Toby Millyard berkata, reptilia itu gemar menggunakan air banjir di rantau ini untuk pergi ke kawasan yang berbeza dan mencari makanan.

“Beberapa jenis buaya menyukai hujan dan ia menggunakan arus air untuk bergerak, ia sangat bijak,” kata Millyard dalam temubual di telefon.

“Cukup mudah untuk menjauhi reptilia ini. Selagi anda tidak berada di dalam air atau berdiri di gigi air, anda tidak perlu risau.”

Pagi Ahad lalu, sekumpulan pelajar dan guru sekolah yang terkandas akibat banjir diselamatkan dari tapak perkhemahan yang terpencil di selatan bandar Tully, kata jurucakap Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan Queensland (QFES).

Perdana Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk memberitahu media Ahad lalu ia akan mengambil masa beberapa minggu untuk menentukan sejauh mana kerosakan yang dialami, terutama pada tanaman pisang dan tebu. – Reuters