IPOH: Banjir yang melanda di beberapa buah negeri tidak menjejaskan harga barangan keperluan harian, khususnya barangan kering.

Bagaimanapun, harga barangan basah seperti ikan dan hasil laut lain, menyaksikan peningkatan kerana bekalan yang berkurangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, situasi itu berlaku apabila nelayan tidak dapat turun ke laut.

“Negeri-negeri yang terlibat dengan banjir seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, harga barang-barang lain seperti di pasaraya masih lagi sama, tetapi harga barang basah agak ada sedikit kenaikan.

“Kita kena faham bahawa memandangkan kepada kesempitan kepada nelayan-nelayan untuk turun, maka sebab itu ada kekurangan dari segi bekalannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemantauan pelaksanaan skim kawalan harga musim perayaan di Pasar Besar Ipoh, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pasaraya Econsave di sini pada Selasa.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan.
Hamzah memberitahu, walaupun skim itu baru dilaksanakan semalam, sudah ada tiga peniaga yang dikesan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

Mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang boleh didenda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu dan denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000 bagi syarikat.